Thursday, January 3, 2013

Persahabatan ;)


Assalamualaikum :)

Persahabatan ? adakah persahabatan kita bertunjangkan faktor kebersamaan dalam perbuatan, kesepakatan pemikiran serta pemahaman yang mantap dalam sesuatu tindakan ? Ramai yang memikirkan begitu . Apabila ada bentuk fikir ke arah ‘kalau kau boleh follow aku’ maka dialah kawan kita. Jika pandangan dan pemikirannya sama macam kita, maka itulah teman yang kita alu-alukan. 

Mudah sahaja buat kita hari ini menilai sesuatu persahabatan. Jauh nun di dalam sanubari kita sebagai manusia, kita telah disesatkan bahawa sesebuah persahabatan yang sebenar perlu punya amanah. Rasa tanggungjawab, prihatin serta mengambil berat soal kehidupan mereka.

Amanah adalah berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila persahabatan perlu punya amanah, ini bermakna persahabatan perlukan kepercayaan. Apa makna sahabat jika kita tidak percaya kepada kawan kita itu bukan? Apabila tidak amanah, maka akan hilanglah kepercayaan, apabila tiada amanah itu maka tiadalah iman. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Tiada keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang pada janji.” (Riwayat Ahmad & Ibnu Hibban).

Adakah persahabatan kita ini atas dasar iman dan taqwa ? Ataupun sekadar mengisi masa kita yang terluang ?

Bagaimana kita boleh katakan bahawa persahabatan kita adalah atas dasar iman dan taqwa apabila setiap tingkah sahabat kita itu tidak kita tegur kesalahannya? 

Bagaimana kita istilahkan persahabatan apabila amanah sebagai seorang sahabat itu tidak kita laksanakan? Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Tiada iman bagi mereka yang tiada amanah dalam hatinya, tiada solat bagi mereka yang tidak suci, tiada agama bagi mereka yang tidak bersolat.”

Sebagaimana pentingnya solat untuk agama Islam, pentingnya bersuci dalam mendirikan solat begitu jugalah pentingnya amanah dalam pembinaan iman. Maka usahakanlah mencari dan menjadi sahabat yang amanah. 

Antara garis panduan yang dapat kita usahakan adalah sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Seseorang itu adalah bersama dengan orang yang dikasihi.” (Riwayat Bukhari & Muslim).

Hasil dari sifat kasih sayang itu menyebabkan seseorang itu akan terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama terhadap sahabatnya.

Abu Sulaiman Darami rahimullah berkata, “Jangan sekali-kali kamu bersahabat melainkan orang yang mempunyai dua sifat ini; pertama, dia dapat diajak untuk bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, dia dapat menambah kemanfaatan dirimu untuk urusan akhiratmu. Jika kamu suka bersahabat dengan orang yang bersifat selain daripada itu, maka pastilah kamu seorang yang lemah akal fikirannya.”

Maka, seharusnya kita juga perlu menjadi sahabat yang amanah kepada teman-teman yang lain. 

Seorang sahabat yang sejati akan menjaga sahabatnya selagi ada upaya dan diperlakukan sebaiknya demi persahabatan atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, jika sekiranya kita sudah atau tertinggal amanah yang diberikan, maka perbanyakkanlah beristighfar serta jangan lupa untuk menjadi sahabat yang sentiasa memperingatkan orang lain tentang amanah mereka.

Bybye ^^ . Sumber yang dipercayai :)